SELAMAT MELAYARI MYBLOG

MUAT NAIK TERKINI DI BLOG SAYA

Selasa, 24 Ogos 2010

Guru tonggak atasi gejala sosial

WARGA pendidik terutamanya guru perlu sedar bahawa mereka menggalas tanggungjawab berat sebagai pengganti ibu bapa kepada pelajar di sekolah.
Kewibawaan dan komitmen guru menjadi titik tolok dalam memainkan peranan sebagai pendidik masyarakat dalam menangani masalah gejala sosial membuang atau membunuh bayi yang baru dilahirkan.
Golongan remaja atau pelajar perlu diberikan kesedaran dan penerangan oleh guru mengenai kepentingan untuk mengutamakan nilai-nilai moral serta kesan buruk seks bebas yang boleh membawa banyak kemudaratan seperti masalah buang bayi dan pelbagai penyakit.


Ini mendorong kepada pelancaran kempen Kami Prihatin yang digerakkan Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Karyawan dan Astro.
Sejak dilancarkan pada 8 April lalu, banyak kes menyayat hati didedahkan dalam ruangan Kami Prihatin yang mencetuskan kesedihan dan kemarahan di kalangan masyarakat seluruh negara.
Terbaru, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGB) mengikut jejak langkah itu apabila mengerakkan kempen kesedaran Perhimpunan Profesionalisme-Kempen Kami Prihatin mengenai gejala pembuangan bagi di peringkat institut itu.
Ketua Projeknya, Ilyana Kamaruddin berkata, program itu bertujuan mendedahkan peranan yang perlu dimainkan oleh bakal pendidik dalam mencorak dan membentuk akhlak remaja terutamanya pelajar.
"Tanggungjawabnya besar itu merupakan amanah yang perlu dilaksanakan bakal pendidik atau guru ini untuk mendidik masyarakat.
"Ibu-bapa juga memainkan peranan utama tetapi guru yang memberi ilmu dan prihatin terhadap kebajikan pelajar,"katanya.
Ilyana berharap, menerusi program itu minat terhadap kerja-kerja kemasyarakatan turut diterapkan kepada bakal pendidik atau guru di institut ini.
Intipati penting Perhimpunan Profesionalisme-Kempen Kami Prihatin melalui pameran yang dianjurkan, kira-kira 500 bakal pendidik di institut tersentuh hati apabila menyaksikan tayangan klip video lagu kempen 'Harapan Tanpa Suara' ciptaan S. Atan dan lirik Habsah Hassan.
Pasti sahaja imej-imej bayi dibuang dan dibunuh yang dipaparkan di skrin mahupun papan-papan pameran memberi kesedaran bukan sedikit kepada bakal pendidik betapa gejala sosial ini semakin menular di kalangan masyarakat moden hari ini.
Dalam pada itu program sehari itu di IPGB turut mengadakan Bicara santai yang bertajuk 'Pendidikan Kesihatan, Reproduksi yang turut diserikan dengan beberapa ahli panel yang membincangkan isu itu.

Sumber: Utusan Malaysia
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
kampus@utusan.com.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...