SELAMAT MELAYARI MYBLOG

MUAT NAIK TERKINI DI BLOG SAYA

Jumaat, 30 Disember 2011

Satu Lagi Tahun Baru 2012...

tak lama lagi lagi kita akan menghadapi dan memasuki ke satu lagi alam tahun baru iaitu tahun 2012. umurku makin meningkat, banyak manakah amalanku pada Nya Rabbul Izzati...dan seperti tahun lepas, akan dimulai dengan mesyuarat pertama guru bagi tahun 2012.
hari ni ada juga yang tak datang kerana masih lagi menghadiri peperiksaan penyelarasan kedua SPM. Mesyuarat pagi ni dimulakan dengan taklimat sistem saraan baru perkhidmatan awam ataupun singkatannya SBPA yang disampaikan En Salleh Mahpop, cc SMK Bukit Pasir.
Gaji semua guru naik samada banyak atau sedikit dan naik mengikut pergerakan gaji sebaris yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam ini.
Jam 9 berhenti rehat, makan pagi ditaja oleh Tuan Kantin sekolah ku. Mesyuarat diteruskan lagi dengan mesyuarat guru berpusatkan kepada laporan analisis Penilaian Menengah Rendah di mana ada 10 orang yang mendpat 8A, manakala 15 orang yang mendapat 7A..tahniah kepada guru.

Rabu, 21 Disember 2011

Cuti Sekolah Akhir Tahun 2011

salam kemaafan kerana dah lama tidak berkesempatan untuk mengemaskinikan blog ini. bila dah bercuti, biasanya aku bercuti betul-betul dan berkebetulan kat kampung aku line broadband nya kurang mantop dan ianya cuma guna GPRS jadi sangat perlahan. hari ni dah balik semula ke rumah dan boleh la aku kemaskinikan apa yang berlaku. Pertama kami balik kampung di Ipoh dan sempat la bawa famili berjalan-jalan. anak-anak aku mengajak ke Zoo Taiping.
kami ke sana. sampai pagi dan orang belum ramai. naik tram je. tak larat nak jalan. dah pusing dengan tram, kononnya nak ronda jalan kaki plak, baru setengah jam, semua kata letih. lepak la....
minggu ni plak bawa anak-anak ke Ipoh Parade, melihat pakciknya ada perlawanan bowling, sempat la anak-anak aku main bowling seorang dua game, berpeluh-peluh....yang penting mereka gembira. tapi kenangan takleh lupa bila afif terjatuh dalam lane akibat licin, nasib baik tak menangis...hebat afif....
sekarang dah ada kat rumah sendiri.....plan esok nak ke Batu Pahat plak, macam nak beli beg laptop baru, yang lama dah ada kesan koyak....sambil tu beli barang dapur sekali...tengok la sok....
kepada yang nak ambil result pmr, all the best....tak lama lagi dah naik sekolah, bagaimana persiapan....siapkan la duit untuk bayaran macam-macam....sekolah biasa, sekolah agama dan lain-lain..

Sabtu, 3 Disember 2011

Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat

Keputusan: 
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:-
 
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
 

Isnin, 21 November 2011

Konvo Prasekolah Anakku Alia

alhamdulillah pada hari Rabu 16 November yang lepas telah berlangsungnya Hari Anugerah Cemerlang Prasekolah Anak Sulungku Alia Farhana. Genap dua tahun Alia belajar membaca, mengira, menulis dan sebagainya di prasekolah ini dan akhirnya tamat dengan mendapat anugerah pencapaian cemerlang prasekolah kategori Pendidikan Islam...macam nak ikut jejak langkah aku je, guru Pendidikan Islam. aku lagi suka. apapun tahniah Alia. Teruskan kecemerlangan apabila masuk ke darjah satu dan seterusnya. Abah dan Ibu sentiasa doakan kejayaan Alia dan Afif(baru nak masuk 4 tahun)....
Dikesempatan ini aku nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru prasekolah dan pembantu prasekolah serta semua guru sekolah yang telah mendidik Alia selama dua tahun ni. Jasa anda semua akan kami kenang sampai akhir hayat kami. Semoga teruskan lagi usaha mendidik anak bangsa kerana segala-galanya bermula dari prasekolah.

Isnin, 14 November 2011

Konvo UTHM Norliza

pada 29 Oktober yang lepas merupakan hari yang bersejarah buat kedua-adik iparku....iaitu kenduri kahwin rumah suami Suhana dan juga hari konvokesyen UTHM untuk semua graduan termasuklah Norliza. Norliza menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan Universiti Tun Hussin Onn Malaysia, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Maka kami terpaksa berpecah dua rombongan, iaitu satu rombongan mengikuti konvo Norliza dan satu lagi rombongan ke kenduri rumah Hasib iaitu suami Suhana di Benut, Pontian. Apabila telah seleai majlis di Benut, kami bergegas pula ke UTHM, nasib baik majlis belum tamat. kira-kira jam 5.30 petang, baru lah graduan sesi petang keluar dari dewan. sempatlah bergambar semuanya.
Tahniah buat Suhana yang melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya Hasib dan tahniah juga buat Norliza kerana berjaya menggenggam segulung ijazah. Keluarga kami tahu betapa perit dan susahnya Norliza dalam pengajiannya terutama semasa semester akhir dalam penyediaan bahan projek.

Sabtu, 5 November 2011

Walimatul Urus Adik Ipar

pada 22 Oktober yang lepas telah berlangsungnya pernikahan adik iparku Suhana dengan pasangan hidupnya Hasib di Felda Nitar 1. Majlis berlangsung dengan ketibaan rombongan pengantin lelaki pada jam 10 pagi dan diletakkan mereka di rumah persinggahan untuk persiapan pengantin. aku plak ditugaskan sebagai orang perhubungan antara rombongan pengantin lelaki dan rombongan pengantin perempuan. Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar apabila Hasib melafazkan akad nikah terimanya tepat jam 10.45 pagi dalam keadaan yang sangat tenang sekali. Teringan masa aku bernikah 9 tahun lepas, rumah persinggahan yang sama dan sebaik sahaja aku melafazkan akad aku terima nikah, hujan mulai turun.....alhamdulillah semua berjalan dengan baik dan lancar. Buat Hasib dan Suhana, tahniah dan semoga kekal ke akhir hayat...Mereka berbulan madu di Cameron, jangan lupa ole-ole untuk along sekeluarga ya...

Khamis, 27 Oktober 2011

Kadet Polis Semakin diminati

PENUBUHAN Kor Kadet Polis di sekolah-sekolah menengah seluruh negara semakin mendapat tempat di hati pelajar apabila bilangan yang mengikutinya meningkat begitu ketara sejak ia diperkenalkan 41 tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, semenjak ia ditubuhkan pada 2 Mac 1970 di bawah Seksyen 68 Akta Polis, keanggotaan yang pada awalnya hanya berjumlah 1,906 kini telah melonjak kepada 105,994 orang.
"Saya amat berbangga kerana minat pelajar terhadap pasukan polis begitu tinggi sekali gus dapat merealisasikan objektif penubuhannya dalam mendisiplinkan para remaja serta membina sahsiah pelajar selaras Falsafah Pendidikan Negara.
"Jika dahulu, para pelajar hanya dikaitkan dengan kes buli tetapi kini, mereka juga sudah mula terlibat dengan kejadian samun, curi kenderaan, ragut dan rogol.
"Walaupun bilangannya kecil, namun pihak polis tidak mengambil remeh mengenainya. Anggota Kor Kadet Polis boleh berperanan sebagai 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa dengan melaporkan kepada pihak sekolah bagi mengelakkan ia daripada berlaku," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Khamis, 20 Oktober 2011

Perceraian Melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS)

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Aug 2003 telah membincangkan Penceraian Melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mail dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.
     
  2. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut.
     
  3. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak
Sumber : e-fatwa

Ahad, 9 Oktober 2011

Selamat Hari Lahir Buat Isteriku

pada 8hb Oktober lepas ialah hari ulangtahun kelahiran bagi isteriku Erdalina yang ke 34. pagi tu isteriku ke sekolah kerana ada latihan rumah sukan dan seterusnya ada mesyuarat guru. aku dan anak-anak ke bandar Muar untuk mencari hadiah yang sesuai bagi isteriku dan akhirnya berjumpa..balik je dari sekolah, aku sudahpun meletakkan hadiah harijadi tersebut di atas katil di bilik kami...apalagi tersenyum la isteriku dengan ucapan terima kasih..aku kata hadiah ni aku dan anak-anak yang pilih....semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki sayangku..
dan pada malamnya pula aku bawa familiku makan makan di restoran ikan bakar Wak Jos di Sabak Awor, Muar..berselera semuanya makan, ada satay, ada sayur, ada ikan pari, ada sotong tepung, ada otak-otak dan juga sup ayam.....berbaloi la..harga pun ok sesuai dengan juadah yang terhidang...

Ahad, 2 Oktober 2011

Penilaian Menengah Rendah 2011

saya selaku GC Pendidikan Islam mengucapkan Semoga Berjaya kepada semua calon-calon sekolah yang bakal menduduki peperiksaan PMR bagi tahun 2011. apa yang diperlukan sekarang ini ialah ketenangan dan kelapangan fikiran selain mohon doa kepada Allah agar diberikan kesihatan sepanjang peperiksaan ini berlangsung. Kesihatan lah yang paling penting kerana tidak ada gunanya kebijakan sekiranya calon sakit semasa hari peperiksaan. pada malam peperiksaan, pelajar dinasihatkan jangan tidur lambat, paling lewat untuk mengulangkaji pun hanyalah setakat jam 11malam..pastu tidur, bangunlah awal jam 5 pagi , solat hajat, tahajjud, ulangkaji sedikit dan solat subuh, sarapan, minta restu ayah dan ibu dan berlapang dada ke sekolah dengan tiada stress dan 'tension'. banyakkan berselawat dan beristghfar. Semoga berjaya terutama anak-anak didikku di SMKBP di Muar...

Jumaat, 23 September 2011

Kursus Profesionalisme Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Muar / Ledang 2011

Tarikh : 22 September 2011 Khamis
Tempat : Bilik Mesyuarat SMK Bukit Pasir
Masa : 8 pagi - 4 petang
Slot Pertama : Pengurusan Rekod dan Fail Panatia
Penceramah : Tn Hj Hanafiah bin Hj Alwee (PPD Muar)
Slot Kedua : Pengurusan Plan J
Penceramah : Tn Hj Shahabuddin bin Jazuli (PPD Muar)
Slot Ketiga : JSU dan Bina Item
Penceramah : Ustazah Zurina (Sekolah Tinggi Muar)
Sebahagian daripada peserta yang hadir....
Tidak ketinggalan peserta lelaki....terima kasih atas kehadiran tuan dan puan..


Khamis, 15 September 2011

Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam

satu Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam, Kementerian Pelajaran Malaysia telah diadakan untuk Pengetua, Guru Besar dan guru-guru daerah Muar, Pontian, Batu Pahat dan Segamat pada:
tarikh : 15 September 2011
hari : Khamis
tempat : Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar
jam : 8 pagi - 2 petang
Program dimulakan dengan slot pertama bertajuk "Transformasi Pendidikan" yang disampaikan oleh Profesor Dato' Doktor Sidek Baba, Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Slot Kedua pula bertajuk " Halatuju Kerja Pendidikan" disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Abd Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Akhirnya penutupan rasmi disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.

Isnin, 12 September 2011

Marhaban Hari Raya AidilfitriTahun 2011

pada hari Jumaat yang lepas 9 September, aku telah bersetuju menerima kunjungan Marhaban Taman aku. dah dua tahun tak buat, tak sempat..alhamdulillah kali ni ada masa dan tenaga, aku buat, malam tu rumah aku yang mula-mula sekali.
Juadah yang sempat dihidangkan ialah satay ayam dan daging, kuih tako, karipap dan air mangga. Marhaban
Lelaki dan Perempuan yang datang banyak gak , adalah dalam 80 orang, penuh sesak rumah aku, dan makanan pun alhamdulillah habis dan tiada pembaziran yang berlaku...
tahun depan boleh ambil lagi, kali ni perancangan lain la pulak dengan kawan-kawan..tunggu tahun depan la...Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin dariku Abu Afif sekeluarga...

Jumaat, 2 September 2011

Puasa Enam Syawal

                    Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun. (Hadis riwayat Muslim).
                    Hadis ini menjadi hujah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.

Rabu, 24 Ogos 2011

Ramadhan Bulan Muhasabah Diri (2)

          Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.
         Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan
bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali. 
        

Jumaat, 19 Ogos 2011

Ramadhan Bulan Muhasabah Diri (1)


        Pada dasarnya manusia dijadikan Allah dalam keadaan fitrah. Semasa  membesar pendidikan yang diterima berbeza-beza mengikut faktor       pendidikan yang diterima daripada ibu bapa dan keadaan persekitaran.
        Faktor-faktor ini mengubah dan menjejaskan fitrah kemanusiaan. Amat beruntunglah seseorang jika pendidikan dan tarbiyah yang diterima      berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sebaliknya amat rugilah jika amalan hidup bercanggah dengan kedua-dua peninggalan Nabi (Quran & Sunnah).
  
Allah amat mengetahui keadaan ini. Justeru, diwajibkan berpuasa setiap tahun bagi setiap individu sebagai satu cara untuk muhasabah, mengukur dan memeriksa diri sejauh mana ketaatan telah dilakukan dan sejauh
mana kemaksiatan telah ditinggalkan. Introspeksi begini jarang dapat dilakukan di luar bulan puasa. Sebagaimana kenderaan perlu di'overhaul' setelah lama digunakan, begitulah manusia perlu di'overhaul' jasmani dan rohaninya melalui amalan berpuasa. Bulan puasa dalam aspek ini merupakan masa bagi umat Islam menjalani tarbiyah dan kursus pembinaan jasmani dan rohani berlandaskan syariat Islamiah supaya
dapat menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.
        

Selasa, 9 Ogos 2011

Pelancaran Bulan Kemerdekaan Sekolahku

pada Isnin yang lepas bersamaan 8 Ogos (8 Ramadhan) telah berlangsungnya pelancaran Bulan Kemerdekaan sekaligus pada bulan Sains Sosial yang diterajui Ketua Bidangnya iaitu Pn Hjh Badariah Hj Mohamed Dali. Majlis bermula dengan ucapan guru-guru dan penyampaian hadiah. diikuti dengan ucapan perasmian oleh En Toh Cheng Hwa, Pengetua sekolahku.
Acara seterusnya ialah perarakan oleh pelajar pakaian beragam sempena ulangtahun kemerdekaan membawa kain rentang kepada Tuan Pengetua dan merentangnya di rostrum Dataran Wawasan.
Acara tamat dengan nyanyian lagu-lagu patriotik seperti lagu Jalur Gemilang, Wawasan 2020, 1Malaysia dan Negaraku.
Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis pelancarannya...

Sabtu, 6 Ogos 2011

Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah)

Sumber dari Berita Harian 21 Mac lepas meunjukkan bahawa jumlah kelahiran anak tidak sah taraf iaitu bayi hasil hubungan luar nikah, menunjukkan pola meningkat antara 2006 hingga 2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 didaftarkan dalam tempoh itu daripada lebih dua juta kelahiran didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28 - 29 Jan 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

Keputusan (English): 

Ahad, 31 Julai 2011

Persaraan Pn Hjh Rokiah bt Jaafar

pada 26 Julai lepas telah diadakan satu majlis makan malam sempena persaraan salah seorang guru di sekolahku iaitu Pn Hjh Rokiah bt Jaafar. Majlis makan malam tersebut telah diadakan di Marina Bay Tanjung Emas dan telah dihadiri oleh semua warga staf sokongan dan guru SMKBP. Dimulakan jam 9.00 malam dengan ucapan aluan pengerusi majlis, bacaan doa. ucapan Pengetua dan diakhiri dengan ucapan yang diraikan Pn Hjh Rokiah bt Jaafar.
Beliau merupakan guru Kemahiran Hidup dan juga Bahasa Melayu di sekolah ini. aku mula mengenali beliau ketika berpindah dari Sabah ke Johor pada tahun 2001. Beliau merupakan seorang yang berdedikasi, prihatin dengan pelajar yang dipanggilnya anak-anaku, prihatin kepada rakan seangkatan dan seperguruan.
Pada 29 Julai pula telah diadakan majlis 'Send Off' untuk beliau pula di Dewan Serbaguna Blok F dan kali ini amanah yang disampaikan khusus untuk semua pelajar yang ditinggalkan juga untuk guru-guru.
Kita ucapkan selamat bersara kepada beliau dan mohon dipanjangkan umur dan dimurahka rezeki serta diberikan kesihatan berpanjangan. Selamat Bersara Pn Hjh Rokiah bt Jaafar. Jasamu Sentiasa Dikenang.

Sabtu, 23 Julai 2011

Hukum Pemerdagangan Manusia

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Pemerdagangan Manusia. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa manusia merupakan makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah s.w.t dan tidak diciptakan untuk menjadi hamba kepada manusia yang lain.
 
ii. Oleh yang demikian, pemerdagangan manusia yang melibatkan berbagai eksploitasi seperti pelacuran, perhambaan dan sebagainya adalah bercanggah dengan kemuliaan dan konsep khalifah yang disyariatkan oleh Allah s.w.t.
 
iii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memperdagang dan mengeksploitasikan manusia dalam pelbagai bentuk yang menyalahi hukum syarak adalah diharamkan oleh Islam.

Selasa, 12 Julai 2011

Hari Koperasi,Keusahawanan dan Hari Temubincang 2011

baru-baru ini sekolahku mengadakan Hari Koperasi dan Keusahawanan peringkat sekolah serta dimasukkan juga Hari temubincang antara pihak sekolah dengan pihak ibubapa. majlis bermula pada waktu pagi di tapak perhimpunan dengan taklimat dari GPK HEM, dan diteruskan dengan temubincang.
yang tidak terlibat akan mula membeli makanan yang dijual di gerai-gerai jualan makanan seperti nasi ayam, nasi ambang, kuih muih, air tebu dan juga tayangan gambar amal.....majlis tamat jam 1 tengahari.

Sabtu, 2 Julai 2011

Larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia

pada 2 Julai telah diadakan larian 1 murid 1 sukan 1 Malaysia secara serentak di semua sekolah rendah dan menengah di Malaysia termasuk lah sekolah di Daerah Muar ini..SMK Bukit Pasir. pelajar datang awal ke sekolah seperti biasa dan dimulakan dengan senamrobik sebagai pemanas badan dan pada jam 8 pagi semua pelajar lelaki dan perempuan 18-13 tahun dilepaskan untuk larian tersebut.Untuk sekolahku, larian dilepaskan oleh tuan Pengetua sendiri iaitu Mr Toh Cheng Hwa dan beliau turut sama mengambil bahagian dalam larian tersebut. Moga tercapai hasrat nak pecahkan rekod baru dalam Malaysia Book Of Record....

Rabu, 29 Jun 2011

Ceramah Sempena Isra' Wal Mi'raj

pada Selasa 28 Jun yang lepas, pihak taman aku iaitu Taman Seri Bakri 3 telah mengadakan sambutan Isra' Wal Mi'raj bagi tahun ini dan telahpun menjemput Ustaz Mohd Fauzi Al-Kedahi dari MRSM Muar untuk menyampaikan ceramah. Pada masa sekarang penceramah lebih gemar menggunakan peralatan yang moden dan begitu juga dengan beliau di mana menggunakan Laptop dan LCD sebagai bahan bantu ceramah beliau. dan ternyata ianya membantu bagi menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan dan tepat.

Isnin, 20 Jun 2011

Kepentingan Mengingati Mati

Hadith :

Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".

 
Abu Sa'id r.a


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...