SELAMAT MELAYARI MYBLOG

MUAT NAIK TERKINI DI BLOG SAYA

Khamis, 25 Oktober 2012

Perbezaan antara Cacar Air dan Kayap Ular












KITA mungkin sedia maklum tentang penyakit cacar air (chicken pox) dan kayap ular (shingles) kerana kedua-dua penyakit ini boleh dikatakan banyak berlaku di negara ini.
Dalam dunia perubatan, penyakit cacar air dan kayap ular tergolong dalam keluarga penyakit herpes yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Varicella Zoster Virus.
Kedua-dua penyakit ini saling berkaitan kerana pesakit yang pernah dijangkiti cacar air akan mendapat penyakit kayap ular di kemudian hari jika virus tersebut diaktifkan semula.
Pendek kata, seseorang itu tidak akan mendapat kayap ular melainkan dia pernah mendapat cacar air sebelum ini.
Pakar Perunding Dermatologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Prof. Madya Dr. Mokhtar Nor berkata, cacar air merupakan penyakit yang berjangkit.
Penyakit ini disebarkan melalui sentuhan langsung dengan orang yang sedang dijangkiti penyakit malah orang yang mengalami jangkitan ini juga boleh menyebarkan virus tadi melalui udara apabila mereka bersin atau batuk.
``Lazimnya, cacar air mudah menjangkiti kanak-kanak atau mereka yang mempunyai daya ketahanan yang rendah malah ia juga boleh menjangkit dalam satu kelompok,'' katanya.
Dr. Mokhtar memberitahu, cacar air boleh dikesan melalui tanda-tanda awal seperti demam dua atau tiga hari sebelum timbul gelembung air di seluruh badan termasuk dalam mulut pesakit terbabit.
Beliau berkata, pada ketika itu pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, radang tekak, sakit perut, batuk, keletihan dan kurang selera makan di samping mengalami suasana kehidupan yang tidak selesa.
``Gelembung berair akan memenuhi permukaan kulit badan dalam tempoh kira-kira lima hari sebelum ia mengering dan menjadi berkeruping. Penyakit ini akan pulih sepenuhnya kira-kira 10 hari kemudian,'' ujarnya.

Bagaimanapun kata Dr. Mokhtar, penyakit ini boleh menjadi serius kepada kanak-kanak yang baru lahir dan mereka yang mempunyai daya ketahanan rendah seperti pesakit AIDS dan HIV.
``Kanak-kanak sihat biasanya tidak mempunyai apa-apa masalah apabila dijangkiti penyakit ini, cuma mereka merasa tidak selesa dan perlu bercuti daripada bersekolah.
``Tetapi kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa mempunyai kecenderungan untuk mengalami jangkitan yang lebih serius,'' ujarnya.
Kebanyakan tanda cacar air akan pulih sepenuhnya dengan rawatan biasa atau rehat. Ubat antiviral boleh diberikan untuk mengurangkan tanda-tanda itu.
Dr. Mokhtar menjelaskan, pesakit yang telah sembuh daripada cacar air tidak akan dijangkiti penyakit yang sama. Meskipun begitu, virus dalam tubuh pesakit terbabit akan menjadi dormant (tidak aktif).
Virus itu akan kekal dalam sel tubuh pesakit yang pernah mendapat cacar air untuk tempoh tertentu dan jika ia aktif semula, ia akan menyebabkan pesakit terbabit mendapat kayap ular.
Pada peringkat ini Dr. Mokhtar berkata, kayap ular akan membentuk satu lingkaran di bahagian tubuh pesakit seperti belitan ular.
Katanya, lingkaran tadi tidak akan bersambung, ia hanya merebak pada sebahagian permukaan kulit seperti di atas dada, perut dan muka.
Menurutnya, pesakit yang mendapat kayap ular akan mengalami keluhan biasa seperti sakit yang menyucuk atau kebas di atas lingkaran tersebut. Malah pesakit juga boleh merasai mereka seperti diserang sakit jantung jika lingkaran merebak di dada kiri.
Beliau memberitahu, gelembung-gelembung berair juga akan timbul di atas lingkaran tadi. Dalam tempoh seminggu gelembung itu akan pecah dan kering sebelum mengeruping.
Perlu ditegaskan, kepercayaan bahawa penyakit ini disebabkan oleh ular dalam tubuh pesakit adalah tidak benar, begitu juga kepercayaan kononnya bila lingkaran bertaut pesakit akan mati.
Kebiasaannya pesakit yang mendapat kayap ular tidak akan menghadapi sebarang komplikasi kecuali jika penyakit itu menyerang muka dan mata pesakit di mana penglihatan pesakit mungkin terjejas.
``Jika anda menghidapi penyakit ini, jangan mengubatinya tanpa menerima nasihat doktor malah jangan sekali-kali menyapunya dengan air tawar atau air sirih kerana ia akan membantu infeksi bakteria,'' tegas Dr. Mokhtar.
Berbeza dengan cacar air, kayap ular tidak berjangkit kepada individu lain kerana kuman yang menyebabkan berlakunya kayap ular berasal dari dalam tubuh manusia itu sendiri.
MEREKA YANG BERISIKO
Secara epidemiologinya, semakin berumur seseorang itu semakin tinggi risiko jangkitannya. Mereka yang berumur 80 tahun ke atas lebih berisiko daripada mereka yang berumur 40 tahun.
Menurut Dr. Mokhtar, daripada sekumpulan individu yang mencapai usia 85 tahun, separuh daripada jumlahnya akan mendapat sekali serangan manakala 10 peratus pula akan mendapat dua kali atau lebih serangan.
Ibu hamil yang mendapat cacar air mempunyai risiko tinggi pada janin dalam kandungan. Bayi yang dilahirkan berisiko mendapat kayap ular meskipun bayi itu tidak pernah mendapat jangkitan cacar air.
Kumpulan yang berisiko tinggi ialah orang yang kurang daya tahan terhadap penyakit seperti mereka yang dijangkiti HIV, penghidap kanser atau mereka yang menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi atau pesakit yang menjalani pemindahan sumsum tulang.
KOMPLIKASI
Bagi orang muda yang sihat, tidak terdapat komplikasi yang serius kecuali yang terkena pada muka dan mata yang boleh menyebabkan hilangnya penglihatan jika tidak dirawat dengan segera terutama dalam kes kayap optalmikus.
Satu lagi komplikasi yang kerap terjadi ialah post herpetik neuralgia (sakit selepas kayap sembuh) terutama pada orang dewasa. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas juga berisiko mendapat post herpetik neuralgia.
Pesakit selalunya merasa sakit yang amat sangat, yang kadang-kadang ubat-ubatan penahan sakit tidak berkesan. Untuk ini pesakit perlu berjumpa doktor pakar untuk rawatan.
RAWATAN
Dalam pada itu kata Dr. Mokhtar, kayap ular secara semula jadi boleh sembuh dengan sendiri tanpa apa-apa rawatan dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas seseorang mendapat jangkitan.
Bagi mereka yang berumur, rawatan lebih tertumpu untuk mengelakkan komplikasi penyakit berbanding merawat penyakit itu sendiri terutama penyakit post herpetik neuralgia.
Ubat-ubat antiviral bila diberi di peringkat awal dalam tempoh 24 jam selepas timbul gelembung berair boleh mengurangkan kesan penyakit termasuk kemungkinan sakit selepas sembuh.
Menurut Dr. Mokhtar, yang penting ialah diagnosis penyakit harus dipastikan terlebih dahulu dan rawatan segera sangat diperlukan bagi mengurangkan kesan buruk kayap khususnya yang terkena pada mata dan mengurangkan kesan sakit post herpetik neuralgia pada orang tua.
Jika pesakit datang berjumpa doktor lebih daripada 48 jam selepas timbul gelembung berair itu, ubat-ubat antiviral tidak perlu diberikan lagi kerana kesannya tidak seberapa.
Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

1 ulasan:

Krimmutiarabumi berkata...

Salam maaf mencelah..cuba krim ini.. Salam semua. Satu penemuan baru-Krim Mutiara Bumi- krim yang saya baru pasarkan telah terbukti berkesan untuk kayap, kudis buta, ruam lampin, dll sakit kulit . Terasa sejuk apabila di sapu & hilang rasa gatal2 dan pedih. Dalam masa singkat insyaAllah baik. Setiap rumah perlu simpan 1 untuk rawatan awal.Hubungi saya untuk maklumat lanjut. Harganya cuma 12.00 saja..Hj Man 013438413, arahmani.tm@gmail.com.T kaseh. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...