SELAMAT MELAYARI MYBLOG

MUAT NAIK TERKINI DI BLOG SAYA

Isnin, 31 Mei 2010

Belajar, mengajar lebih seronok


BAYANGKAN situasi ini. Sebuah kelas hingar bingar, pelajar berhimpit tidak selesa, guru yang sedang mengajar di depan tidak diendahkan manakala suasana persekitaran diselubungi bau kurang menyenangkan meskipun kipas ligat berputar.
Pelajar merungut kerana kurang diberi perhatian manakala guru gagal melaksanakan proses pembelajaran dengan baik kerana kekurangan tenaga bagi memantau kira-kira 40 pelajar.

Suasana itu bukan rekaan tapi realiti di kebanyakan sekolah di negara ini, gara-gara jumlah yang ramai dalam sesebuah kelas.

Memburukkan lagi keadaan apabila guru yang mengajar terpaksa bekerja keras mengawal perjalanan kelas menyebabkan mudah naik darah dan merencatkan proses pembelajaran.

Namun, mereka tiada pilihan dan perlu akur kerana inilah senario yang perlu dihadapi setiap hari.

Justeru, apabila ada cadangan mengehadkan jumlah pelajar kepada 25 orang setiap kelas di sekolah rendah dan menengah, apakah ia jalan keluar kepada masalah sedia ada? Berdasarkan kajian ilmiah di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, jumlah itu sangat ideal bagi memacu kecemerlangan pencapaian di kalangan pelajar.

Di negara ini, rancangan pengenalan jumlah kapasiti kecil di kalangan pelajar dirancang melalui Kokurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pada 1983 dan Kokurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) 1988. Malangnya hingga kini ia tidak diimplementasikan.

Konsep 25 pelajar satu kelas membolehkan proses pembelajaran lebih selesa dan menyeronokkan. Komunikasi dua hala boleh berjalan lancar.

Namun, bilakah ia menjadi kenyataan atau hanya sekadar cadangan sedangkan kebanyakan negara maju sudah melaksanakan konsep itu? Bekas pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Ariffin Noordin, berkata cadangan itu wajar dilaksanakan segera bagi mengelak masyarakat tertanya-tanya manakala warga sekolah terus menjadi mangsa.

Beliau berkata, walaupun di peringkat cadangan, masyarakat menganggap ia satu harapan, selari dengan kehendak dunia pendidikan masa kini.

"Masyarakat mahukan sistem pendidikan terbaik dan berkualiti tapi jika suasana di kelas padat dan sesak, bagaimana boleh belajar dengan selesa? "Faktor kecemerlangan bukan saja daripada individu tapi keseluruhan termasuk prasarana yang disediakan," katanya.

Menurutnya, jika cadangan itu direalisasikan, ia bakal memberi keselesaan optimum kepada pelajar selain membantu guru lebih fokus mengajar.

Katanya, jumlah pelajar yang kecil bukan saja memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran malah memberi impak positif menjana ilmu.

"Sistem pendidikan begitu pantas dengan kepelbagaian modul. Jika guru terpaksa memantau lebih 30 pelajar, pasti suatu kesukaran.

"Kelas ramai bukan saja akan merendahkan kualiti pembelajaran malah menyebabkan penurunan produktiviti," katanya.

Mengehadkan jumlah pelajar kepada 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara cadangan yang dikenal pasti jawatan kuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah bebanan guru.

Dr Tajul Ariffin berkata, jika ia gagal dilaksanakan sejak 27 tahun lalu, ia bukan alasan untuk menangguhkan lagi kerana warga sekolah dahagakan suasana persekitaran lebih kondusif bagi tujuan pencarian ilmu.

"Untuk melahirkan generasi cemerlang, faktor persekolahan serta pendidikan terbaik adalah salah satu sokongan utama. Jika kemudahan yang diberikan rapuh, ia akan menjejaskan mutu guru pelajar.

"Ia perlu dilaksanakan kerana jika ditangguh terlalu lama akan menjejaskan segala usaha," katanya.

Katanya, sekolah berasrama penuh sudah melaksanakan konsep itu dan hasilnya mereka mencipta kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Berbanding sekolah harian, keadaannya berbeza. Saya tidak kata pelajar sekolah harian tidak bijak, tapi keselesaan juga memainkan peranan untuk kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata jika kapasiti pelajar kecil, penumpuan penuh dapat diberikan sekali gus membantu menangani kepincangan pelajar tercicir.

"Ramai yang bergantung pada tuisyen tapi pengecilan jumlah pelajar membolehkan proses pembelajaran lebih dinamik. Guru boleh memantau dan melihat keperluan mereka.

"Pelajar tidak memerlukan tuisyen untuk berjaya. Jika mereka boleh beri sepenuh perhatian di kelas dan guru cekap melihat kelemahan atau potensi pelajar, masalah boleh diselesaikan.

"Malangnya, semua itu sukar kerana kapasiti pelajar lebih daripada kemampuan menyebabkan yang lemah terpaksa mencari alternatif lain. Mereka tidak boleh bersandar harapan kepada guru semata-mata," katanya. Beliau tidak menafikan kelemahan perancangan menjadi punca kegagalan Kementerian Pendidikan melaksanakan konsep 25 pelajar satu kelas.

"Sekolah tidak berubah tapi pelajar sentiasa bertambah. Buatlah bandar terancang seperti Putrajaya.

"Jangan sesuka hati mengubah dasar pendidikan yang lama dibuat. Perancangan penyelidikan dan penyediaannya memakan tempoh yang panjang, jika selalu diubah, bila nak dilaksanakan?" katanya.

Sumber: Harian Metro

1 ulasan:

ummi berkata...

Saya sangat menyokong cadangan mengecilkan bilangan pelajar dalam satu kelas...sekolah saya satu kelas biasanya 38 hingga 40. Kalau nak masuk kelas kena makan nasi dulu...sebab penat melayan karenah pelajar yang tidak mahu belajar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...