MUAT NAIK TERKINI DI BLOG SAYA
Sabtu, 6 Februari 2010
Berita Baik Untuk Atlit Sukan Sekolah
SEMUA 24 bidang sukan, termasuk 11 yang dikatakan bakal digugurkan daripada kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2010 akan dikekalkan apabila Kementerian Pelajaran bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM89 juta.
Pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu secara tidak langsung memberikan kelegaan kepada banyak pihak yang memberikan pelbagai reaksi berhubung perkembangan MSSM itu.
Muhyiddin berkata, kerajaan prihatin sukan sekolah penting dalam pembentukan sahsiah pelajar di samping melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia, oleh itu kementeriannya bersetuju menyalurkan peruntukan itu.
“Peruntukan RM89 juta untuk aktiviti sukan dan kokurikulum itu sebagai memastikan semua 24 bidang sukan di bawah kalendar MSSM dapat terus dipertandingkan bagi semua peringkat umur, meskipun keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Stadium dan Kompleks Sukan Educity@Iskandar di Bandar Nusajaya di Kota Iskandar, Johor Bahru, semalam. Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Akhbar sebelum ini melaporkan 11 sukan digugurkan daripada kalendar MSSM untuk 2010, atas apa disifatkan sebagai reaksi balas ekoran pemotongan belanjawan tahun semasa.
Sebaliknya, MSSM hanya akan mempertandingkan 13 jenis sukan, dengan penentuan dibuat berdasarkan sukan yang akan dipertandingkan di peringkat sekolah Asia.
Semua 11 acara sukan sebelum ini digugurkan ialah tenpin bowling, skuasy, memanah, ping pong, ragbi, kriket, kapal layar, sofbol, bola baling, merentas desa dan catur gara-gara bajet tahunan MSSM dipotong dari RM6 juta kepada RM1.5 juta.
Tiga belas acara dikekalkan adalah gimnastik artistik, gimrama, golf, renang, olahraga, badminton, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, bola sepak, tenis dan hoki.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sukan peringkat sekolah perlu digiatkan dengan menambah baik kemudahan prasarana sukan di sekolah.
“Kita ada 5.6 juta pelajar dan 10,000 sekolah di seluruh negara. Dalam masa yang sama juga kita mahu seorang pelajar sekurang-kurangnya mengambil bahagian dalam satu jenis sukan .
“Namun saya tahu sejak beberapa tahun lalu, ada kemudahan infrastruktur sukan di sekolah tidak dinaikkan taraf seperti padang dan gelanggang. Oleh itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kementerian akan memberi tumpuan kepada menaik taraf kemudahan sukan di sekolah,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro Jumaat 5 Februari 2010...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan