GURU Cemerlang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Zainuddin Zakaria
berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa apabila beliau memenangi
tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan 2011 di Washington,
Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Mengulas
mengenai kemenangan itu beliau berkata, ia bukanlah suatu pertandingan
yang mudah lebih-lebih lagi melibatkan penyertaan 115 guru dan juga
pendidik dari 75 buah negara termasuk Malaysia.
"Sebagai
wakil tunggal Malaysia dan juga ASEAN, saya berasa sangat berbangga
kerana berjaya membuktikan bahawa para pendidik dari rantau ini juga
mampu bersaing di peringkat antarabangsa," kata guru Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri, Kepong ini.
Beliau
ditewaskan oleh juara dan juga pemenang tempat kedua kategori Cutting
Edge Use of Microsoft Technology for Learning iaitu Louis Zulli Jr, dari
AS melalui projek “Center for Advanced Technologies News and
Information Portal” dan Steven Ronsijn dari Belgium dengan projek
bertajuk “genY”.
Lima lagi
kategori yang dipertandingkan ialah Extending Learning Beyond the
Classroom, Knowledge Building and Critical Thinking, Innovation in
Challenging Contexts, Collaboration dan Educators’ Choice.
Menurut
Zainuddin lagi, cabaran pada pertandingan ini menjadi lebih berat
apabila barisan juri yang sebahagian besarnya merupakan golongan
profesional bidang ICT meletakkan tahap yang tinggi bagi kepada para
peserta.
"Ia merupakan cabaran
besar kepada para peserta kerana latar belakang sebagai guru mungkin
tidak sama penguasaan ilmu ICT seperti pakar dalam bidang berkenaan.
"Namun
yang demikian, berkat usaha dan kerja keras saya menyiapkan tugasan ini
dengan kolaborasi yang dilakukan bersama guru-guru dari Australia,
Russia, Korea, Vietnam dan Nigeria membuahkan hasil yang positif.
"Walaupun
hanya mendapat tempat ketiga, saya berasa sangat berpuas hati kerana ia
merupakan anugerah pertama yang pernah dimenangi oleh wakil dari
Malaysia dan juga ASEAN," jelasnya.
Sebelum
berlangsungnya pertandingan itu, lebih 200,000 pendidik dari seluruh
dunia telah menyertai pusingan awal di setiap bahagian bagi melayakkan
diri ke peringkat akhir.
Zainuddin
layak ke peringkat seterusnya apabila memenangi pusingan awal
pertandingan yang diadakan semasa Persidangan Forum Pendidikan Inovatif
Microsoft di Phuket, Thailand dan seterusnya mewakili Asia Pasifik ke
peringkat akhir.
Pada
pertandingan tersebut, para peserta diadili 50 pakar pendidikan yang
merupakan panel antarabangsa bagi menilai beberapa kriteria yang
diperlukan sebagai pemenang.
Para
peserta dinilai melalui amalan pendidikan inovatif serta kemahiran
kritikal abad ke-21 kepada para pelajar seperti kerjasama, berfikiran
kritis dan tanggungjawab sosial melalui penggunaan sumber teknologi yang
berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan