Kalau
kita mahu lahirkan seorang insan cemerlang sama ada dia seorang anak, rakan
mahukan orang bawahan maka kita perlu suburkan kebaikan dalam diri
mereka. Salah satu cara menyuburkan kebaikan ialah dengan memuji
kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan agar mereka seronok mengulangi lagi
kebaikan ini dilain masa.
Berikut
adalah cara memuji yang berkesan:
1.
Disegerakan
Pujian
mestilah disegerakan dan paling berkesan ialah ketika sesuatu kebaikan itu
sedang dilakukan. Misalnya kalau kita lihat anak kita tiba-tiba datang
rajinnya menolong kita di dapur sedangkan selama ini bila dipaksa baru mahu
buat maka pujilah sedikit anak itu, “Haaa… macam ni lah anak mak, cepat
kerja-kerja ni siap bila adik mahu bantu mak”. Ia akan lebih berkesan
lagi apabila ketika itu ada juga orang lain selain kita di situ.
2.
Ikhlas dari hati
Orang
dapat membaca sejauh mana kita ikhlas apabila memuji mereka. Oleh itu,
biarlah puji-pujian itu datang daripada hati agar ia benar-benar
dihargai. Jangan memuji dengan nada menyindir kerana ia akan menyakitkan hati
orang tersebut. Kalau orang yang dipuji itu berada hampir dengan
kita tepuk-tepuklah bahunya sedikit sebagai bukti kita benar-benar seronok
dengan tingkah lakunya.
3.
Puji secara spesifik
Puji-pujian
pula biarlah dibuat secara spesifik bukan secara umum. Misalnya,
apabila anak kita tunjukkan sebuah lukisan yang dihasilkannya, tidak cukup
dengan berkata “wahh, cantik lukisan adik!”. Tetapi nyatakanlah
dengan lebih specifik apa yang cantiknya, misalnya “wahh, cantik lukisan adik!
Mak suka adunan warna yang adik gunakan”. Atau pun “wahhh, cantik
pokok yang adik lukis dalam gambar ini”. Begitu juga apabila anak
kata dia ada peningkatan dalam markah yang diperolehi dalam peperiksaan
baru-baru ini. Sebagai ibu bapa, kita minta anak tunjukkan markah-markah
itu dan kita puji secara spesifik. Misalnya, “Syabas, kakak dah ada
peningkatan dalam markah Sejarah dan Matematik. Bahasa Inggeris ni pula
tidak mengapa, teruskan lagi usaha kakak seperti yang kakak lakukan dalam dua
subjek tadi”. Apabila kita memuji secara spesifik maka orang yang dipuji
tahu bahawa kita memang memberikan perhatian terhadap apa yang mereka
tunjukkan. Mereka juga sedar bahawa puji-pujian tersebut bukan sekadar
untuk ambil hati.
4.
Realistik dan tidak keterlaluan
Adalah
penting bagi kita memuji sesuatu yang benar dan bukan atas sesuatu yang sengaja
kita ada-adakan. Jangan juga memuji dengan cara yang keterlaluan
hingga ketara yang pujian itu sengaja dibuat-buat. Yang penting
adalah bersederhana dalam memuji agar orang yang dipuji itu tidak rosak akhlak
dan peribadinya kerana termakan pujian. Berkata benarlah dalam
mengeluarkan puji-pujian kerana ia melambangkan keluhuran hati kita sendiri.
5.
Tidak disulam dengan kata-kata negatif
Apabila
memuji jangan disusuli pula dengan ungkapan-ungkapan yang negatif.
Misalnya:
“Amboi, kemasnya bilik adik sekarang, alangkah baiknya
kalau sejak dulu lagi macam ini”.
Kata-kata ‘alangkah baiknya kalau sejak dulu lagi
macam ini’ itu adalah kata-kata negatif yang tidak sepatutnya diungkit lagi
ketika memuji.
“Macam ni lah yang saya mahukan dari pekerja saya,
hasilkerja yang kemas dan rapi tapi jangan setakat seminggu dua
sudahlah”.
Kata-kata ‘tapi jangan setakat seminggu dua sudahlah’
adalah negatif.
Kalau
sudah dipuji tu puji sahajalah dan tidak perlu untuk mengungkit atau
mengandaikan perkara yang buruk-buruk lagi. Sebab setiap pujian yang
disulam dengan kata-kata negatif menunjukkan bahawa kita tidak seratus peratus
ikhlas. Lebih malang
lagi orang yang dipuji itu tidak akan mengulangi kebaikan yang dilakukan kerana
merasakan kebaikan tersebut tidak dihargai. Tidak ada sesiapa pun
yang tidak suka dipuji oleh itu kita sebenarnya bertindak bijak dengan
memberikan apa yang mereka harapkan lebih-lebih lagi jika kita seseorang yang
lebih dihormati oleh mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan