SELAMAT MELAYARI MYBLOG

MUAT NAIK TERKINI DI BLOG SAYA

Rabu, 24 Ogos 2011

Ramadhan Bulan Muhasabah Diri (2)

          Amalan puasa diwajibkan di antara lain ialah untuk memerangi syaitan. Selain berlapar atau menahan diri dari makan dan minum, kita juga dikehendaki puasakan pendengaran, penglihatan dan perkataan. Berlapar dengan tujuan menyempitkan perjalanan syaitan. Syaitan berjalan dalam diri kita melalui saluran darah. Dengan berpuasa syaitan tidak berpeluang menjadikan pembuluhan darah kita sebagai lebuhrayanya. Telinga dipuasakan dari mendengar yang haram, mulut dipuasakan dari mengeluarkan kata-kata yang jahat seperti mengumpat dan berbohong manakala mata pula dipuasakan dari melihat perkara yang dilarang atau diharamkan. Jika dilakukan dengan penuh ketaatan syaitan tidak langsung dapat peluang memeragkap kita di bulan ini. Tambahan pula dalam bulan ini dinukilkan bulan terbukanya pintu syurga dan ditutupkan pintu neraka.
         Pendek kata dalam bulan ini, kita mesti menghisab diri dan mengawasi segala tindak laku kita supaya tidak mencemari amalan puasa. Nabi sentiasa mengingatkan kita supaya jangan menyamakan bulan ini dengan
bulan-bulan lain. Mesti ada kelainannya kerana inilah keistimewaannya. Jika anggapan kita Ramadan sama dengan bulan-bulan lain, maka peruntukan pahala dan rahsia Ramadhan tidak akan kita perolehi dan kecapi kelazatannya sama sekali. 
        
Setelah mempuasakan segala indera kita dari apa yang dilarang oleh Allah, kita digalakkan mengisi sepanjang Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah, mengaji ilmu agama, sembahyang terawih dan sebagainya. Amalan di bulan puasa dibalas dengan gandaan pahala yang banyak. 
         Walaupun tidur orang puasa diberikan pahala, namun memperbanyakkan tidur di waktu siang tidaklah digalakkkan sebagaimana tidak digalakkan makan banyak pada waktu malamnya. Semasa berbuka memadailah dengan makanan yang sederhana. Janganlah melampaui batas dalam menyediakan makanan berbuka. Kita perlu mengingatkan diri kita tujuan puasa ialah untuk melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika semasa berbuka kita penuhkan dengan pelbagai juadah, maka seolah-olah kita melayan semula kehendak syaitan dan nafsu. Bermakna tujuan puasa pada hari itu masih samar-samar dan tidak memberi kesan positif. Oleh sebab itu, Nabi saw pernah bersabda ramai orang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.
         Syaitan sangat suka sifat membazir malahan mereka yang membazir dikatakan kawan syaitan. Tradisi kebanyakan kita membeli juadah dan kuih-muih yang banyak untuk berbuka adalah membazir kerana semasa
berbuka hanya sebahagian yang kita makan; selebihnya dibuang saja.
         Akhirnya dapat dibuat kesimpulan bulan puasa adalah bulan bagi umat Islam membuat persiapan diri memperkuatkan benteng jasmani dan rohani melawan godaan syaitan dan nafsu. Jika kita dikalahkan oleh syaitan dalam bulan-bulan lain, dengan bantuan Allah insyallah kita akan menang kerana dapat mengalahkan syaitan pada bulan Ramadhan yang mubarak ini. Kemenangan ini seharusnya tidak dihadkan dalam bulan ini saja; ia perlu dihayati seterusnya pada bulan-bulan berikutnya. Ingatlah kita sedang menjalani kursus dan bengkel mujahadah sepanjang Ramadhan. Budaya sepanjang kursus/bengkel mestilah diteruskan pada bulan-bulan lain. Jika ini berjaya dilakukan barulah dikatakan objektif puasa ini mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita lakukan semoga amalan kita diterima oleh Allah.
         


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...