SELAMAT MELAYARI MYBLOG

MUAT NAIK TERKINI DI BLOG SAYA

Jumaat, 30 Julai 2010

Berunding Selesai Masalah

JIKA dulu guru dinobat golongan paling dihormati, kini semakin diperlekehkan dengan pelbagai isu remeh dan kurang menyenangkan.

Imej semakin tercalar apabila masyarakat kian berani mencabar, sekali gus mempertikaikan kewibawaan guru hingga pergeseran semakin parah.

Pelajar menjadi sasaran yang sering dipersalahkan sementara sekolah berada dalam dilema. Masing-masing cuba menegakkan kebenaran hingga mewujudkan suasana kurang harmoni dan mengganggu proses pembelajaran.


Ini gus mengundang persoalan, begitu mudahkah masyarakat memperkotak-katikkan institusi pendidikan negara? Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya UM), Profesor Dr Saedah Siraj berkata guru tonggak utama merencanakan proses pencarian ilmu manakala pelajar dan masyarakat mekanisme terpenting menyokong proses itu.

Menurutnya, proses pendidikan berjalan lancar seandainya kedua-dua pihak saling menyokong dan memudahkan matlamat melahirkan generasi cemerlang peribadi dan akademik.

"Perbalahan menyebabkan proses pendidikan terganggu selain merencatkan perancangan apatah lagi menimba ilmu perlu berlangsung secara harmoni dan tenang.

"Campur tangan tentunya memburukkan lagi keadaan dan merugikan semua pihak kerana ada yang tidak bersalah menjadi mangsa hingga mengundang tanggapan negatif pihak luar.

"Berbincang dan bersikap profesional agar semua pihak mendapat manfaat," katanya.

Mengakui bukan sukar mencari mekanisme 'mendamaikan' kedua-dua pihak, beliau menyarankan sikap berkecuali dan fokus pada tanggungjawab sebenar.

"Guru wajar diberi kepercayaan menjalankan tanggungjawabnya, masyarakat pula perlu percaya pada kemampuan guru. Jangan asyik mempertikaikan keputusan atau bersikap menyalahkan orang lain.

"Sukar melaksanakan tugasan jika sentiasa ditekan, justeru, bersikap adil dengan memberi ruang mencorakkan tanggungjawab masing-masing.

"Jika tidak puas hati, buat teguran, tetapi gunakan saluran betul bukan emosi. Ramai mudah melenting hingga tiada sikap profesional antara satu sama lain," katanya.

Dr Saedah berkata ibu bapa juga berhak menyuarakan rasa tidak puas hati.

Bagaimanapun, tindakan atau komunikasi terburu-buru boleh mewujudkan suasana keruh apatah lagi sekolah atau guru enggan bekerjasama.

"Ada yang bersikap prejudis hingga mencabar kesabaran ibu bapa. Berkomunikasi dengan baik, bina kerjasama untuk menjernihkan suasana. Penyelesaian perlu berpaksi pada kewarasan," katanya.

Sumber:
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my
2010/07/26

Komen:
Pada masa dahulu, kalau anak-anak balik rumah mengadu dirotan, maka ibubapa akan tambah lagi 'hadiah' untuk mereka. tetapi keadaannya berbeza pada masa sekarang apabila ibubapa sanggup datang ke sekolah 'menyerang' guru yang terlibat dan membela anak-anak mereka dengan tidak mempedulikan penjelasan yang diberikan oleh pihak sekolah...
Tugas guru di sekolah ialah mendidik anak bangsa juga yang beragama Islam, kalaulah kita sebagai ibubapa tidak menaruhkan sepenuh kepercayaaan kepada guru untuk tugas yang tidak mampu mereka lakukannya di rumah, saya tidak tahu nak komen apa la...Fikir-fikirkanlah.. 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...